RUU Tenaga Atom ganti Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984

JOHOR BAHRU – Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) yakin penggubalan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) kepada Rang Undang-Undang (RUU) Tenaga Atom bersesuaian dengan perkembangan semasa berikutan peningkatan pemegang lesennya.

Ketua Pengarahnya, Hamrah Mohd Ali, berkata, berikutan itu, pindaan pada rang undang-undang itu yang mula dilaksanakan sejak enam tahun lalu dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk aspek keselamatan dan kawal gunaan tenaga atom dijangka akan dimuktamadkan pada tahun ini.

Menurutnya, AELB juga telah menjalankan kajian secara menyeluruh dan terperinci mengenai pindaan undang-undang itu, sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara

“Penggunaan teknologi nuklear di Malaysia juga semakin meningkat mengikut kepada bilangan pemegang lesen, jadi sudah sampai masa akta berkenaan (Akta 304) yang sudah hampir 35 tahun itu dipinda dan pindaan ini juga adalah seiring dengan perkembangan semasa serta mengikut piawaian antarabangsa.

“Di peringkat AELB, kita sudah pun berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan mengenai pindaan ini dan menyerahkan draf berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara. Kita berharap pindaan yang dilakukan itu dapat dimuktamadkan pada tahun ini selepas diteliti oleh pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara AELB dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan Senat UTM, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan AELB diwakili Hamrah dan UTM diwakili Timbalan Naib Canselor (Pembangunan)nya, Prof Dr Azlan Abdul Rahman.

MoU itu bertujuan sebagai penukaran maklumat teknikal dan kerjasama dalam bidang keselamatan nuklear dan sinaran, sekuriti bahan radioaktif dan bahan nuklear serta kawal selia bahan nuklear melibatkan aktiviti pendidikan dan penyelidikan.

Hamrah berkata, pindaan itu juga bertujuan untuk mengawal undang-undang tenaga atom secara selamat bagi keamanan di negara ini.

“Ini kerana, sehingga kini terdapat kira-kira 2,000 pemegang lesen AELB yang aktif dalam pelbagai industri termasuk bidang penyelidikan, gas dan minyak, elektronik serta pembuatan dan sebagainya,” katanya.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/ruu-tenaga-atom-bersesuaian-perkembangan-semasa-1.627531