Johor Bahru, 2 November 2021 – Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus komited dalam menyokong kebajikan pelajar dengan mengadakan Majlis Penyerahan Komputer Riba kepada Pelajar B40 Fakulti Sains. Program ini merupakan inisiatif Jawatankuasa Endowmen Fakulti Sains yang menyediakan bantuan 17 unit komputer riba kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melalui Tabung Endowmen Fakulti Sains.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), bertempat di Dewan Jamuan, Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru. Bantuan ini membabitkan jumlah sumbangan sebanyak RM49,300.00, hasil daripada sumbangan warga fakulti dan kerjasama Unit Endowmen UTM.
Menurut Fakulti Sains, inisiatif ini adalah manifestasi keprihatinan fakulti terhadap pelajar B40, terutamanya yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dalam memastikan mereka mempunyai kemudahan mencukupi bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Krisis ini telah menjadi pemangkin kepada kita semua untuk menyesuaikan diri dengan perubahan norma baharu. Sektor pengajian tinggi merupakan antara sektor yang paling terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Oleh itu, keperluan untuk melaksanakan pembelajaran secara dalam talian menjadi satu keutamaan,” kata Fakulti Sains dalam kenyataan rasmi.
Pemilihan penerima bantuan komputer riba ini dilakukan berdasarkan beberapa kriteria yang dinilai oleh Jawatankuasa Endowmen Fakulti Sains dengan bantuan penasihat akademik pelajar. Selain itu, spesifikasi komputer riba yang dipilih turut menekankan aspek ketahanan, kebolehgunaan, serta jangka hayat yang lebih panjang bagi menyokong pembelajaran digital.
Kerjasama Tabung Endowmen Fakulti Sains dan Unit Endowmen UTM ini menunjukkan keprihatinan UTM dalam menyokong model pembelajaran yang lebih inklusif dan saksama. Program ini juga selari dengan aspirasi Revolusi Industri 4.0, Revolusi Pendidikan 5.0, serta Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015 – 2025 yang menekankan kepentingan pembelajaran dalam talian dan akses digital kepada semua pelajar.
Sumbangan kepada Tabung Endowmen Fakulti Sains masih diterima dan dialu-alukan bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripada program ini.
Untuk maklumat lanjut atau sumbangan, sila hubungi Unit Endowmen UTM.