JOHOR BAHRU, 23 April 2025 – Sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap kebajikan pelajar, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan lawatan kebajikan ke rumah Nur Huwaida Imran, pelajar program Sarjana Muda Sains (Biologi Industri) dengan Kepujian (3 SSCBH) yang terjejas akibat bencana banjir di Kampung Sri Serdang, Johor Bahru, baru-baru ini.
Lawatan ini bukan sekadar menyampaikan sumbangan keperluan asas, tetapi juga menjadi ruang untuk mendengar sendiri pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh pelajar serta keluarganya. Delegasi fakulti turut menzahirkan sokongan moral dan semangat agar pelajar terus tabah meneruskan pengajian walaupun berdepan ujian yang tidak dijangka.
Menariknya, bantuan yang disalurkan kepada pelajar ini turut menggunakan Dana Endowmen Fakulti Sains UTM (FS Endowment Fund) — satu inisiatif kebajikan yang diwujudkan bagi membantu pelajar fakulti yang memerlukan, sama ada dari aspek kebajikan, kecemasan mahupun pembangunan akademik. Melalui dana ini, pelajar terjejas menerima bantuan kewangan khas bagi meringankan beban keluarga dan menampung keperluan segera selepas kejadian banjir.
Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Shafinaz Binti Shahir, menegaskan bahawa fakulti sentiasa komited memastikan kebajikan pelajar diberi perhatian sewajarnya, khususnya dalam waktu sukar seperti ini.
“Inisiatif endowmen ini mencerminkan semangat kebersamaan warga Fakulti Sains dalam membantu pelajar yang memerlukan. Walaupun kecil, sumbangan ini besar maknanya dalam memberikan kelegaan dan semangat untuk pelajar terus berjaya,” ujar beliau.
Fakulti Sains UTM terus berpegang kepada prinsip Prihatin dan Peduli, bukan sekadar dalam bidang akademik dan penyelidikan, tetapi juga dalam membina komuniti yang berdaya tahan dan saling menyokong. Usaha ini menjadi bukti nyata bagaimana Dana Endowmen Fakulti Sains berperanan penting dalam memperkukuh ekosistem kebajikan pelajar dan kelestarian fakulti secara keseluruhan.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif penyelidikan dan endowmen Fakulti Sains, layari:
🔗 https://science.utm.my/endowmen/