Senai, 31 Mei 2025 – Program The Grand Physics Night 2025 anjuran Jawatankuasa Kelab Pelajar Fizik (JKPP) Jabatan Fizik, Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berlangsung dengan penuh meriah di Le Grandeur Palm Resort Johor. Majlis ini diadakan bagi meraikan pelajar tahun akhir program Sains Fizik (SSCF/Z) yang bakal menamatkan pengajian mereka.
Majlis berprestij tersebut telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir, Dekan Fakulti Sains UTM, dengan ucapan pembukaan oleh Dr. Roslinda Zainal, Pengarah Jabatan Fizik. Program turut dihadiri pensyarah, pelajar dan keluarga dengan jumlah kehadiran seramai 96 orang.
Penganjuran The Grand Physics Night 2025 bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada para graduan, malah turut memberi peluang kepada pelajar tahun dua dan tiga untuk menimba pengalaman dalam pengurusan majlis dan kepimpinan. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan termasuk sesi persembahan pelajar, penyampaian anugerah, cabutan bertuah, serta penganugerahan King, Queen, Prince dan Princess of the Night.
Majlis turut mendapat maklum balas positif daripada peserta yang memuji kelancaran program, pemilihan lokasi yang strategik serta makanan yang memuaskan. Antara cadangan penambahbaikan termasuklah peningkatan kualiti audio dan penambahan ruang bergambar (photo booth) bagi memberi lebih banyak peluang rakaman kenangan bersama.
Penasihat program, Dr. Siti Sarah Safaai, menyatakan bahawa kejayaan penganjuran kali ini mencerminkan kerjasama erat antara pelajar dan pensyarah Jabatan Fizik. “Komitmen tinggi semua pihak amat dihargai dan menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus cemerlang bukan sahaja dalam akademik tetapi juga dalam pembangunan sahsiah dan kepimpinan,” katanya.
Sebagai tanda sokongan terhadap kebajikan pelajar, Dana Endowmen Fakulti Sains UTM turut digunakan bagi membantu meringankan beban pelajar dalam bentuk bantuan kewangan dan sokongan aktiviti pelajar. Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan fakulti terhadap kesejahteraan dan kecemerlangan mahasiswa.
Program seperti The Grand Physics Night bukan sahaja menjadi simbol penghargaan kepada graduan, tetapi juga wadah memperkukuh semangat kekitaan dan jati diri warga Fakulti Sains UTM ke arah melahirkan graduan holistik dan berdaya saing.