JOHOR BAHRU, 21 Jun 2025 – Program Bionight 2025, anjuran Jabatan Biosains, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kelab Symbiosis, telah berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Inderaputra, Pulai Spring Resort, Johor. Majlis makan malam tahunan ini diadakan bagi meraikan pelajar tahun akhir prasiswazah sesi 2024/2025 yang bakal menamatkan pengajian mereka, sambil mengiktiraf kecemerlangan akademik dan sumbangan pelajar serta warga akademik Jabatan Biosains.
Menariknya, penganjuran majlis tahun ini turut disokong oleh Dana Endowmen Fakulti Sains, yang telah membantu menampung sebahagian kos pengurusan program dan penyediaan anugerah kepada pelajar cemerlang. Sokongan ini mencerminkan komitmen fakulti dalam memastikan aktiviti pelajar dapat dijalankan dengan berimpak tinggi serta terus menanam budaya menghargai dan memberi dalam kalangan komuniti akademik.
Majlis telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir, Dekan Fakulti Sains, manakala majlis penutup disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Alina Wagiran, Pengarah Jabatan Biosains. Seramai 133 orang peserta hadir terdiri daripada pelajar, alumni, tenaga pengajar dan ahli jawatankuasa pelaksana.
Program ini turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti tayangan montaj pelajar, persembahan seni, sesi cabutan bertuah, mini games, dan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik, King & Queen of the Night, serta Anugerah Pensyarah dan Staf Terbaik. Suasana malam penuh bermakna itu diraikan dengan semangat kekeluargaan dan kebersamaan antara pelajar pelbagai tahun dan pensyarah Jabatan Biosains.
Menurut penasihat program, penganjuran Bionight bukan sahaja menjadi wadah meraikan kejayaan pelajar tahun akhir, tetapi juga berfungsi sebagai platform pelajar tahun satu hingga tiga untuk mengasah kemahiran kepimpinan, organisasi dan kerja berpasukan melalui penglibatan langsung dalam perancangan dan pelaksanaan majlis.
“Dengan adanya sokongan daripada Dana Endowmen Fakulti Sains, program seperti Bionight dapat dilaksanakan dengan lebih berkualiti dan profesional. Ia memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan, di samping menanam semangat giving back dalam komuniti fakulti,” jelas Prof. Madya Dr. Shafinaz.
Penganjuran Bionight 2025 menjadi simbol penghargaan dan penyatuan seluruh komuniti Fakulti Sains – dari pelajar, pensyarah hingga alumni – dalam menghayati nilai teras universiti iaitu Excellence through Synergy. Dana endowmen ini terus menjadi pemangkin kepada pembangunan insan dan kesejahteraan pelajar yang selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030.