JOHOR BAHRU, 16 Mei 2025 – Program Oscar of Mathematicians 2025 anjuran Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Inderaputera, Pulai Spring Resort. Program ini diadakan bagi meraikan pelajar tahun akhir program SSCEH dan SSCMH yang bakal menamatkan pengajian, di samping menghargai pencapaian akademik serta sumbangan mereka sepanjang bergelar warga Fakulti Sains.
Majlis ini turut mendapat sokongan dana Endowmen Fakulti Sains UTM, yang telah digunakan bagi menampung pelbagai keperluan majlis termasuk penyediaan hadiah kecemerlangan pelajar dan pengurusan acara. Sumbangan daripada dana endowmen ini jelas mencerminkan semangat kebersamaan komuniti Fakulti Sains dalam menghargai usaha dan kecemerlangan pelajar.
Majlis dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Shafinaz Binti Shahir, Dekan Fakulti Sains, dan turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Zarina Binti Mohd Khalid, Ketua Jabatan Sains Matematik, serta Dr. Fatin Nadiah Binti Mohamed Yussof selaku penasihat program. Seramai 174 peserta yang terdiri daripada pensyarah, alumni, serta pelajar tahun 1 hingga tahun 4 hadir memeriahkan suasana majlis.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang malam termasuk persembahan pelajar, tayangan montaj, dan sesi King & Queen of the Night yang menjadi tarikan utama. Anugerah khas turut disampaikan kepada pelajar cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan akademik mereka.
Menurut Dr. Fatin Nadiah, penganjuran program ini bukan sahaja sebagai tanda penghargaan kepada pelajar tahun akhir, tetapi juga sebagai platform bagi pelajar tahun dua untuk mengasah kemahiran kepimpinan dan organisasi melalui penglibatan mereka sebagai jawatankuasa pelaksana.
“Program ini menunjukkan bagaimana nilai kolaborasi antara pensyarah dan pelajar dapat diterjemahkan dalam bentuk aktiviti yang membina semangat kekitaan serta memupuk budaya kecemerlangan,” ujar beliau.
Sokongan dana endowmen Fakulti Sains dalam penganjuran majlis ini telah memberi impak positif terhadap pembangunan sahsiah pelajar serta memperkukuh nilai giving back dalam kalangan warga fakulti. Ia turut menonjolkan peranan Endowmen FS sebagai pemangkin utama dalam menyokong aktiviti pelajar berimpak tinggi yang selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030.