Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menganjurkan Minggu Endowmen Fakulti Sains (FS Endowment Week) 2025, sebuah inisiatif strategik yang bukan sahaja memperkukuh usaha endowmen di peringkat fakulti, malah menyumbang secara langsung kepada agenda Endowmen UTM di peringkat universiti. Program ini mengangkat tema rasmi “Endowmen dengan Kepedulian: Menyubur Sains, Membentuk Masa Depan”, menekankan kepentingan kolaborasi, tanggungjawab sosial dan komitmen terhadap pembangunan ilmu serta kebajikan pelajar.
Program berimpak tinggi ini telah dirasmikan oleh YBRS. Prof. Madya Ts. GS. Dr. Robiah Binti Hj. Suratman, Pengarah Endowmen UTM, yang menzahirkan penghargaan terhadap Fakulti Sains atas komitmen berterusan dalam memperkasa kelestarian kewangan universiti melalui penganjuran inisiatif endowmen yang tersusun, telus dan berimpak tinggi. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa tabung endowmen memainkan peranan penting sebagai tunjang kelestarian kewangan universiti, bukan sekadar sebagai dana jangka panjang, malah sebagai komitmen berterusan untuk menyokong kebajikan pelajar, pembangunan akademik serta kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan UTM. Pendekatan inklusif yang melibatkan staf, pelajar, alumni, rakan industri dan komuniti luar turut mencerminkan kekuatan ekosistem universiti yang disokong secara kolektif.
Sementara itu, YBRS. Prof. Madya Dr. Raja Kamarulzaman Bin Raja Ibrahim, Pengarah Program “FS Endowment Week” 2025, memaklumkan bahawa pelbagai program utama telah dilaksanakan sepanjang minggu penganjuran bagi menggalakkan penglibatan warga universiti dan masyarakat dalam menyokong kebajikan pelajar serta memperkukuh masa depan fakulti. Melalui dana endowmen ini, pelbagai program dan aktiviti pelajar dapat dijalankan dengan lebih bermakna. Antara inisiatif yang mendapat manfaat termasuk Majlis Apresiasi Pelajar, Hari Kecemerlangan Akademik, Program Kepimpinan, serta Aktiviti Komuniti dan Kebajikan Pelajar. Dana endowmen yang disumbangkan akan digunakan bagi menyokong pelbagai program Kebajikan dan pembangunan akademik iaitu Schola4U@FSUTM, Laptop4U@FSUTM, Fund4U@FSUTM dan Kupon4U@FSUTM dan Majlis Pelancaran Fund Raising – Meningkatkan Tabung Endowmen. Sebagai salah satu inisiatif korporat, penyerahan komputer riba kepada dua pelajar B40 telah disempurnakan oleh Prof. Madya ChM. Dr. See Hong Heng, Pengarah Bashob Analytical PLT, yang turut menyumbang secara langsung bagi membantu pelajar Fakulti Sains dalam menampung keperluan pembelajaran dan penyelidikan mereka. Menurut beliau, setiap program ini memberi peluang kepada warga universiti dan masyarakat untuk berganding bahu demi membina masa depan pelajar yang lebih terjamin dan masa depan fakulti yang lebih gemilang.
Penyampaian cenderahati oleh Dekan Fakulti Sains Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir diiringi oleh Pengarah Program “FS Endowment Week” kepada perasmi program iaitu Pengarah Endowmen UTM iaitu Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Robiah Hj. Suratman.
Penyerahan komputer riba kepada pelajar oleh Prof. Madya ChM. Dr. See Hong Heng, Pengarah, Bashob Analytical PLT dengan diiringi oleh Dekan Fakulti Sains
Sebagai salah satu acara kemuncak, SCIRUN 2025 – Fun Run Amal Endowment telah berjaya dianjurkan pada 13 Disember 2025, dengan penyertaan aktif staf, pelajar, alumni serta komuniti setempat. Program larian amal ini bukan sahaja bertujuan mengumpul dana bagi Tabung Endowmen Fakulti Sains, malah turut memupuk gaya hidup sihat, semangat kebersamaan dan hubungan erat antara universiti dan masyarakat.
Program ini turut mendapat sokongan daripada para penaja, yang memainkan peranan penting dalam kejayaan penganjuran FS Endowment Week 2025. Antara penaja dengan sumbangan melebihi RM2500 ialah INFINITE, Kedai Emas De Aurora, Kafe 916 dan Bashob Analytical, manakala penaja lain termasuklah Persatuan Agrotani Kampus, SHE Empire, Prihoda dan International Year of Quantum Science and Technology, dengan sumbangan sebanyak RM1,000. Sokongan padu daripada penaja ini membolehkan pelaksanaan pelbagai aktiviti amal, kebajikan dan fund raising berjalan lancar serta memberi impak positif kepada komuniti universiti. Kutipan dana terkumpul bagi aktiviti yang dijalankan sepanjang program ialah sebanyak RM15,040.00.
Secara keseluruhan, “FS Endowment Week” 2025 menzahirkan komitmen Fakulti Sains dalam menyokong aspirasi universiti melalui usaha pendanaan yang kreatif dan menyeluruh, penyediaan bantuan kebajikan pelajar, penambahbaikan kemudahan pembelajaran serta pengukuhan reputasi universiti sebagai institusi yang berakauntabiliti, prihatin dan berimpak tinggi.
Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada seluruh Jawatankuasa “FS Endowment Week” 2025, para penaja, rakan industri, sukarelawan serta warga Fakulti Sains atas komitmen dan sokongan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan program ini. Semoga segala usaha murni ini terus membawa manfaat berpanjangan kepada generasi pelajar UTM akan datang.
Disediakan oleh:
Noorazwani Zainol