JOHOR BAHRU, 1 April 2025 – Seramai 58 pelajar Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima bantuan kewangan di bawah skim Fund4U@FSUTM, satu inisiatif kebajikan daripada Dana Endowmen Fakulti Sains UTM yang bertujuan meringankan beban pelajar berpendapatan rendah.
Skim Fund4U@FSUTM ialah bantuan one-off yang disalurkan kepada pelajar prasiswazah dan pascasiswazah Fakulti Sains yang menghadapi kekangan ekonomi, terutamanya mereka dalam kategori B40 atau yang disahkan mempunyai beban kewangan oleh penasihat akademik. Dana ini diagihkan selepas melalui proses saringan, penilaian dan kelulusan rasmi Jawatankuasa Pengurusan Fakulti (JKPF).
Daripada jumlah keseluruhan penerima, 18 pelajar daripada Jabatan Fizik, 29 pelajar daripada Jabatan Kimia, 9 pelajar daripada Jabatan Matematik, dan 2 pelajar daripada Jabatan Biosains telah menerima bantuan berjumlah antara RM500 hingga RM1000 setiap seorang. Semua penerima telah disahkan lengkap dokumen sokongan seperti penyata pendapatan, slip gaji atau surat pengesahan kategori B40.
Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan) Fakulti Sains, Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek, dana endowmen ini mencerminkan semangat solidariti warga fakulti dalam membantu pelajar meneruskan pengajian dengan lebih tenang.
“Endowmen ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi simbol kebersamaan dan keprihatinan fakulti terhadap kebajikan pelajar. Ia hasil sumbangan warga Fakulti Sains, alumni dan rakan strategik yang percaya bahawa setiap sumbangan kecil boleh membawa perubahan besar dalam kehidupan pelajar,” katanya.
Skim Fund4U@FSUTM juga memberi keutamaan kepada pelajar yang menunjukkan prestasi akademik baik serta berdisiplin. Terdapat juga pelajar yang menerima bantuan atas faktor kehilangan ketua keluarga, seperti kes kematian ayah atau penjaga utama yang menjejaskan sumber pendapatan keluarga.
Fakulti Sains UTM melalui Dana Endowmen FS UTM berhasrat untuk terus memperkukuh budaya endowmen dan kebajikan mampan, sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik yang seimbang dari segi akademik dan kesejahteraan.
Maklumat lanjut mengenai inisiatif Fund4U@FSUTM dan pelbagai aktiviti endowmen boleh dilayari melalui laman rasmi https://science.utm.my/endowmen/.