26 Mei 2025 | Johor Bahru – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Kimia Malaysia (IKM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada satu majlis rasmi yang berlangsung di Dewan Senat, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.
MoU ini bertujuan mengukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi dalam pelbagai bidang berkaitan kimia, khususnya pembangunan profesional ahli kimia, pelaksanaan penyelidikan bersama, serta penganjuran program akademik dan industri yang berimpak tinggi.
Majlis menandatangani MoU ini menyaksikan pemeteraian oleh Presiden IKM, YBhg. Datuk ChM Dr. Soon Ting Kueh dan Naib Canselor UTM, YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim. Turut hadir menyaksikan majlis ini ialah Dekan Fakulti Sains, YBrs. Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir, bersama barisan pengurusan kanan kedua-dua pihak.
Melalui pemeteraian MoU ini, UTM dan IKM komited untuk memperkukuh sinergi antara akademia dan industri dalam memacu kecemerlangan bidang kimia negara, termasuk aspek akreditasi profesional, pengiktirafan kompetensi, serta peluang penyelidikan dan pembangunan yang lebih meluas.
Kerjasama ini juga dilihat sebagai langkah strategik untuk menyokong aspirasi negara dalam memperkasakan bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) serta memupuk generasi profesional kimia yang berdaya saing di peringkat global.




