Johor Bahru, 26 Julai 2025 – Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Sri Pulai Perdana telah berjaya menganjurkan program komuniti bertajuk “Kursus Vermikompos Pintar: Teori dan Amali” yang berlangsung pada Sabtu, 26 Julai 2025.
Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan), Fakulti Sains UTM, yang turut menekankan kepentingan pendidikan lestari dan penerapan teknologi hijau dalam komuniti.
Kursus ini menyasarkan kumpulan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan jumlah penyertaan seramai 10 orang, termasuk 2 orang guru dari SK Sri Pulai Perdana. Objektif utama adalah untuk memberi pendedahan kepada teknik pengurusan sisa organik melalui kaedah vermi-kompos dan penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) bagi memantau parameter penting dalam sistem kompos seperti suhu dan kelembapan.
Antara pengisian program termasuk sesi ceramah pengenalan kepada konsep vermikompos, pembangunan kotak vermikompos pintar secara amali, serta demonstrasi penggunaan sensor IoT yang boleh dihubungkan kepada aplikasi pemantauan mudah alih. Peserta juga menerima bimbingan teknikal secara langsung daripada tenaga akademik Jabatan Biosains.
Kejayaan program ini turut disokong oleh barisan Ahli Jawatankuasa Penganjur dari Jabatan Biosains, Fakulti Sains UTM, iaitu:
-
Prof. Madya Dr. Nor Azimah Mohd Zain (Ketua)
-
Dr. Zarita Zakaria
-
Dr. Siti Halimah Hasmoni
-
Dr. Nurzila Ab Latif
-
Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin
-
Dr. Nurliyana Ahmad Zawawi
-
Pn. Wan Aznida Wan Mohd Anuar
-
En. Muhammad Nazafee Abu Bakar
Program diakhiri dengan sesi penyampaian sijil dan sesi bergambar. Para peserta menyatakan rasa teruja dan menghargai peluang mempelajari kaedah lestari ini, dengan hasrat untuk menerapkannya di kediaman dan komuniti masing-masing.
📌 Ikuti lebih banyak program penyelidikan dan pemindahan ilmu kami di: https://science.utm.my/utmfsresearch





