Johor Bahru, 12 Ogos 2025 – Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berbesar hati mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Prof. Dr. Suhairul Hashim, Profesor di Jabatan Fizik, atas kejayaan membangunkan inovasi keselamatan berteknologi tinggi yang menjadi penanda aras baharu di rantau Asia Tenggara.

Inovasi tersebut melibatkan Portal Pemantauan Sinaran (RPM) dan Mesin Pengimbas Kargo Pandu Lalu Berbilang Pandangan yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI). Sistem ini direka untuk mengesan senjata, bahan letupan, dadah, alkohol, rokok, serta bahan radioaktif dengan ketepatan tinggi tanpa memerlukan kepakaran saintifik pegawai penguat kuasa.

Teknologi ini kini digunakan di pintu masuk strategik negara seperti Kuantan, Pasir Gudang, Westport, dan Bukit Kayu Hitam, dan turut menembusi pasaran antarabangsa apabila 11 unit telah dijual ke Indonesia. Keupayaan pengesanan automatik berasaskan AI, integrasi dengan pangkalan data imej objek terlarang, serta pemantauan masa nyata melalui telefon pintar menjadikannya inovasi yang memberi impak besar kepada keselamatan negara.

Projek ini mendapat sokongan dana daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, Billion Prima Sdn. Bhd., dan pelbagai pihak industri, di bawah Malaysia Laboratories for Academia-Business Collaboration (MyLAB) 2/2020. Ia turut mematuhi piawaian antarabangsa ANSI dan IEC, sekaligus mengangkat nama Malaysia di persada global dalam bidang teknologi keselamatan.

Fakulti Sains UTM amat berbangga dengan pencapaian ini yang bukan sahaja mempamerkan kecemerlangan penyelidikan dan inovasi UTM, malah membuktikan peranan universiti dalam menyumbang kepada kesejahteraan dan keselamatan negara.

📌 Baca lebih lanjut mengenai penyelidikan Fakulti Sains di: https://science.utm.my/utmfsresearch/
📎 Sumber berita penuh: BERNAMA