JOHOR BAHRU, 21 Oktober 2026 – Pasukan penyelidik dari Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bersama Centre for Sustainable Nanomaterials (CSNano), Ibnu Sina Institute for Scientific and Industrial Research (ISI-SIR), telah mengadakan perbincangan dengan pihak SMK Dato’ Usman Awang bagi menyelaras pelaksanaan program RoboVision Explorer di bawah inisiatif Program STI 100³ MOSTI 2026.
Program yang diketuai oleh Dr. Siti Salwa Alias ini bertujuan memperkenalkan konsep asas fizik, elektronik dan teknologi robotik pintar melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal serta pemindahan ilmu kepada komuniti sekolah.
Hasil perbincangan, pelaksanaan program dipersetujui melalui tiga fasa utama:
-
Fasa 1 (3 November 2026): Penyediaan modul dan latihan asas elektronik, termasuk pembinaan litar Light Dependent Resistor (LDR), melibatkan pensyarah dan staf UTM sahaja.
-
Fasa 2 (24 November 2026): Pelaksanaan program RoboVision Explorer bersama komuniti sekolah, melibatkan 35 pelajar kursus Introduction to Physics (ITP) sebagai fasilitator. Aktiviti dijadualkan bermula pada pukul 2.00 hingga 4.30 petang, dengan penglibatan pensyarah dan staf UTM.
-
Fasa 3 (1–3 Disember 2026): Aktiviti susulan, pemantauan dan refleksi pelaksanaan program oleh pensyarah dan staf UTM.
Program ini turut dirancang untuk didaftarkan bagi penarafan 4 Bintang UTM melalui aktiviti pemindahan ilmu dan penglibatan komuniti. Semua ahli pasukan projek akan disenaraikan dalam pendaftaran berkenaan.
Melalui kerjasama strategik antara UTM dan pihak sekolah, RoboVision Explorer diharapkan dapat meningkatkan minat pelajar terhadap bidang STEM, memperkukuh kemahiran komunikasi sains dalam kalangan mahasiswa serta menyokong aspirasi UTM ASCEND 2030 melalui pemindahan ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat.