Assalamu’alaikum/Salam Sejahtera semua warga UTM,
Semoga semua warga UTM sentiasa berada dalam kesejahteraan dan keceriaan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Majlis konvokesyen UTM kali ke-63 akan berlangsung bermula 2 November 2019 hingga 5 November 2019 ini. Seperti yang saya selalu ulang, Majlis konvokesyen sudah menjadi acara rutin setiap tahun. Tetapi bagi para graduan dan ahli keluarga, majlis konvokesyen merupakan satu majlis yang sangat bermakna, satu detik bersejarah yang di tunggu-tunggu oleh semua para graduan dan menjadi satu kebanggaan atas pencapaian yang diperolehi. Justeru, saya memohon semua warga UTM agar kita turut sama meraikan kegembiraan graduan dan keluarga masing-masing. Sebagai warga UTM, seharusnya kita teruja untuk meraikan kegembiraan ini bersama pelajar dan keluarga. Seperti yang saya selalu nyatakan ‘seluruh eko sistem kampus’ terlibat dalam mendidik pelajar. Justeru, saya sekali lagi mengajak seluruh warga kampus di semua peringkat untuk memberikan layanan terbaik kepada semua tetamu.
Pada sesi kali ini, Bahagian Keselamatan telah menetapkan larangan kenderaan bas dan lori sepanjang tempoh konvokesyen ini berlangsung. Ini bertujuan memberi keselesaan dan mengurangkan kadar kesesakan yang sering kali berlaku dikala berlangsungnya majlis konvokesyan ini.
Semoga budaya mesra warga UTM dirasai oleh mereka. Sama-sama kita juga doakan agar Majlis konvokesyen UTM kali ke-63 ini akan berjalan lancar dan meriah. Akhir kata, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung dalam menjayakan konvokesyen kali ini dan semua program-program lain yang diadakan sempena Majlis konvokesyen ini.
Sekian, terima kasih.
Wahid Omar
Naib Canselor