+607-5534043 / 34046 / 33542

1972-2022 : 50 Tahun Kecemerlangan UTM

1972-2022:
50 Tahun Kecemerlangan UTM
“Kerana Tuhan, Untuk Manusia”

Jati diri sesebuah universiti kebiasaannya mempunyai jalur sejarah masing-masing yang disulami dengan pahit manis perjuangan panjang para peneraju serta pendukung yang sebahagiannya menjadi pejuang yang tidak didendang.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempunyai jati diri yang diungkapkan melalui cogan kata “Kerana Tuhan, Untuk Manusia”.
Cogan kata ini yang versi asalnya adalah “Untuk Tuhan dan Manusia” ini lahir dari inspirasi Naib Canselor pertama UTM iaitu Allahyarham Tan Sri Ainudin Wahid. Beliau menyebut bahawa cogan kata berkenaan bertujuan agar mahasiswa UTM menuntut ilmu dengan tujuan ibadah kepada Allah dan ilmu yang diperolehi dari Allah melalui UTM itu perlu disebarkan untuk kebaikan manusia.
Hasrat ini diolah dengan indah melalui falsafah universiti iaitu: “Hukum Allah adalah dasar kepada ilmu. Sejajar dengan kehendak-Nya, UTM komited secara menyeluruh dan bersepadu demi mencapai kecemerlangan dalam sains, teknologi dan kejuruteraan untuk kemakmuran dan kesejahteraan sejagat.”
Jati diri ini bukan sahaja termaktub dalam bentuk cogan kata dan falsafah, bahkan menjadi pedoman warga UTM dalam menongkah cabaran menuju kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi. Jika ada yang bertanyakan tentang rahsia kecemerlangan UTM sebagai universiti penyelidikan, ketrampilan lepasan UTM dan warga kerjanya, jawapannya ada di sini.