Bagi menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan komuniti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), khususnya warga Fakulti Sains; program Sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2021 telah dianjurkan secara maya bermula 29 Ogos sehingga 16 September 2021.
Bertemakan #MalaysiaPrihatin, antara aktiviti yang dilaksanakan adalah webinar Merdeka, deklamasi sajak, pertandingan mereka bentuk pelitup muka MyMask@Kemerdekaan, Klik@Kemerdekaan, mewarna Merdekarya dan FS Patriot Virtual Run@Ride.
Program tersebut dimulakan dengan pengisian webinar Merdeka oleh Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia ASM, Puan Hazami Habib yang bertajuk “Becoming A Developed Nation: Are We on Track?”.
Program ini dianjurkan bersama ASM (Bahagian Selatan) di mana Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM yang juga Pengerusi ASM (Bahagian Selatan) telah bersama-sama menyertai program dan memberikan kata aluan.
Seterusnya, aktiviti deklamasi sajak oleh bakat kreatif daripada staf dan pelajar Fakulti telah dilaksanakan, sebagai juga menandakan pembukaan program secara rasmi.
Bersamaan dengan majlis penutup program, webinar Merdeka siri kedua telah dianjurkan dengan perkongsian daripada Prof. Datuk. Ir. Dr. Wahid Omar, Mantan Naib Canselor UTM yang bertajuk Minda dan Jiwa Merdeka; Demi Cinta Negara: Kita Berjuang dengan Cara Sendiri.
Pada akhir majlis, Timbalan Pendaftar Fakulti; Hajah Nor Azlinda Abu Bakar telah mengumumkan senarai nama pemenang pertandingan dan diikuti oleh ucapan penutup program oleh Dekan Fakulti; PM Dr. Zaiton Abdul Majid.
Setinggi tahniah diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa program, peserta dan seluruh warga Fakulti Sains yang telah bersama menjayakan program pada tahun ini!
Semoga program yang sama dapat dilaksanakan lagi pada tahun-tahun yang seterusnya.
Selamat Hari Malaysia!
Oleh : Dr. Mohd Bakri Bakar